LATAR BELAKANG PENUBUHAN:
Melihat kepada pertambahan bilangan mahasiswa Terengganu yang menuntut di negara-negara Eropah Timur terutamanya di dalam masa yang terdekat ini, maka kewujudan sebuah persatuan untuk membela, membantu dan menaungi mereka adalah sangat-sangat diperlukan. Selain daripada itu, ia juga bakal menjadi platform bagi mereka untuk bersama di bawah satu bumbung dan mengeratkan silaturahim sesama mereka di perantauan serta dapat menjamin kebajikan mahasiswa itu sendiri. Ia juga berfungsi untuk membolehkan mereka bergerak dengan lebih teratur dan mapan. Jurang antara dua benua yang jauh terpisah atas faktor geografi juga boleh dirapatkan baik dari aspek ilmu pengetahuan, kebudayaan, teknologi malah ekonomi.
Oleh sebab itulah, Gabungan Mahasiswa Terengganu Eropah Timur (GAMTET) ditubuhkan pada 7 Julai 2007 atas persetujuan dan kerjasama yang telah lama terjalin di antara mahasiswa-mahasiswa Terengganu yang kini sedang melanjutkan pelajaran di negara- negara Eropah Timur.
GAMTET, atau singkatan dari Gabungan Mahasiswa Terengganu Eropah Timur, adalah satu badan yang dianggotai oleh pelajar-pelajar yang menuntut di Eropah Timur. Secara amnya ia dianggotai oleh pelajar-pelajar perubatan di Ukraine dan Russia. Setakat ini keahlian terbuka kepada semua mahasiswa yang berasal dari negeri Terengganu, ataupun mempunyai ibu atau bapa yang lahir di negeri Terengganu, ataupun menetap di negeri Terengganu lebih dari 10 tahun. Sebarang keahlian baru adalah sangat dialu-alukan.
Matlamat
Terdapat desas-desus di kalangan warga universiti yang mengatakan GAMTET adalah kelab bersifat kenegerian yang dikhuatiri bersifat asabiyah, namun dengan adanya blog ini sebagai wadah penerangan kami warga GAMTET ingin menerangkan bahawa itu bukanlah tujuan kami menubuhkan gabungan ini.
Selaku gabungan pelajar negeri yang paling banyak menerima biasiswa dari pihak negeri melalui Yayasan Terengganu (tidak termasuk pelajar MARA atau JPA) kami berasa adalah perlu jika diwujudkan satu gabungan yang menjaga hal ehwal pelajar yang menerima biasiswa dari pihak negeri Terengganu. Selain itu, dengan penubuhan GAMTET ianya diharapkan dapat memudahkan proses permohonan mana-mana ahli yang berminat menukar status biasiswa boleh-ubah (convertible scholarship) kepada biasiswa penuh (full scholarship).
Selain itu GAMTET juga bertujuan menjadi satu kelab bukan kerajaan yang bergiat aktif dalam aktiviti filantrofi dan kemasyarakatan, kerana kami di GAMTET percaya aktiviti kebajikan adalah satu amalan mulia yang perlu dijalankan walau di mana kami berada. Justeru, kesinambungan aktiviti kebajikan sewajarnya dijalankan di bawah satu payung organisasi yang terdiri dari ahli-ahli yang sealiran iaitu GAMTET.
GAMTET, dengan mempunyai ahli-ahli yang sedang menuntut di bidang perubatan yang merupakan satu bidang professional yang terhormat, berazam akan memajukan bidang perubatan di negeri Terengganu sekaligus memartabatkan wawasan Terengganu maju. Ini selari dengan visi YAB Menteri Besar Terengganu untuk menjadikan Terengganu sebuah negeri yang disegani di Malaysia, dengan bantuan sumber manusia yang ditaja oleh Kerajaan Negeri Terengganu.
Dengan adanya rakyat Terengganu yang bertaburan di bumi Eropah Timur, adalah diharapkan kami dapat mengharumkan nama Terengganu sekaligus memperbaiki sebarang salah faham terhadap bumi yang kami cintai. Para ahli juga bertanggungjawab memperkenalkan keindahan bumi Terengganu di mana jua mereka berada.
Adalah diharapkan GAMTET di bawah pimpinan kerajaan negeri dan di bawah nasihat pihak Yayasan Terengganu dan Kerajaan Negeri berjaya merealisasikan semua matlamat dan objektif penubuhan.



selamat hari raya aidilfitri
layari
guntongbest.blogspot.com