KUALA TERENGGANU 23 Mac – Kerajaan negeri Terengganu akan membuka semula perpustakaan awam negeri pada waktu malam dalam usaha meningkatkan penggunaan perpustakaan selain bagi menerapkan sikap minat membaca di kalangan rakyat terutamanya golongan remaja serta pelajar sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, ini berikutan kajian mendapati peratusan membaca di kalangan rakyat negeri ini masih lagi kurang.
“Dulu, kita telah buka waktu malam, tetapi malangnya sambutan agak mendukacitakan… jadi kita ambil keputusan tangguh dahulu.
“Tetapi kali ini kita akan membukanya semula dalam tempoh terdekat untuk memberi kemudahan kepada mereka yang tidak berkesempatan untuk berkunjung pada waktu siang hari,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku Peringkat Negeri Terengganu 2009 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini.
Razif berkata, langkah itu merupakan antara beberapa program yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pengguna ke perpustakaan awam. – BERNAMA


