AL-FATIHAH
Gabungan Mahasiswa Terengganu Eropah Timur (GAMTET) ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail yang telah menghembuskan nafas terakhir beliau di Institut Aminuddin Baki pada 28 November 2008.
Sesungguhnya pemergian beliau adalah suatu kehilangan besar kepada bidang pendidikan negara.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau dan menempatkan beliau di kalangan orang-orang yang beriman. Ameen.
Biodata Datuk Razali Ismail
Datuk Razali bin Ismail, berasal dari Kuala Berang , Terengganu, adalah graduan Universiti Malaya. Beliau kemudian melanjutkan lagi pelajarannya ke University of Birmingham, United Kingdom untuk mendapatkan Ijazah Sarjananya.
Beliau memulakan tugas pertamanya sebagai guru di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang pada tahun 1974 dan 3 tahun kemudian menjadi seorang pensyarah di Maktab Perguruan Pasir Panjang.
Selain dilantik sebagai Pengarah Pendidikan Terengganu pada tahun 2001 dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Bahagian Pendidikan Perguruan di Kementerian Pendidikan, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengetua Maktab Perguruan Kuala Terengganu.
Pada tahun 2004, beliau dipilih menjadi calon Barisan Nasional untuk kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Lawannya, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dari PAS telah tewas dengan kelebihan undi majoriti sebanyak 1,933.
Pada Pilihanraya ke-12 yang lalu, beliau menewaskan Haji Mohamad Sabu dari PAS dan calon bebas, Maimun Yusof yang berusia 89 tahun dengan kelebihan sebanyak 628 undi untuk mengekalkan kerusi Parlimennya dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran.
Beliau juga aktif dalam bidang sukan. Selain menjadi Naib Presiden Persatuan Hoki Lelaki Terengganu dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Terengganu, beliau juga memegang tali pinggang hitam dalam seni pertahanan Judo.
(Sumber: Bernama dan Utusan)





i’ve been to terangganu once, it’s such a beautiful place.